Demam facebook semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, semakin kurang kenalan yang mengemaskini blog. Arus gelombang blog sudah tidak sehebat dahulu, mungkinkah arus blog akan menerima nasib yang sama seperti gelombang-gelombang terdahulu?…terkubur didalam lipatan sejarah.
Teruja? …sama sekali tidak…rasanya facebook tidak secocok dengan jiwa aku…tidak dinafikan aku mempunyai akaun facebook, tetapi sekadar untuk mengetahui perkembangan kenalan-kenalan lama…dan sebagai tanda protes maklumat di profile & gambar tidak dikemaskini walaupun terdapat beberapa permintaan. Jangan terperanjat sekiranya akaun facebook dipadam tiba-tiba, kerana aku ingin kembali semula aktif sebagai seorang blogger.
Kenapa menongkah arus? Aku suka pada kelainan dari biasa…aku masih ingat zaman window XP baru dipasarkan, ramai yang berlumba-lumba memasangnya tidak kira guna CD ori ataupun yang cetak rompak, tapi aku seronok mempelajari linux. Bila rakan sekerja sibuk memasang Vista, PC aku dipejabat masih lagi guna window 98. Sekarang sekali lagi ramai sudah beralih angin ke Window Seven aku pula masih seronok guna apple leopard.
Agak lewat menulis entri pertama untuk tahun ini, tetapi ianya merupakan titik tolak dan pengerak untuk aktif semula sebagai blogger. Alhamdulillah, hari yang ditunggu akhirnya tiba jua, walaupun agak tersasar dari jangkaan asal. Sedang warga kerja sibuk mengemas dan menyusun fail-fail, komputer, telefon, kabel rangkaian, barangan peribadi dan lain-lain peralatan di ruang kerja yang baru, aku menongkah arus dengan menyusun ruang kerjaku untuk pegawai penganti dan barang peribadi di susun rapi didalam kotak untuk dibawa pulang.
Minggu terakhir adalah minggu yang amat sibuk buat aku…mana nak siapkan nota serah tugas, kertas kerja, mesyuarat dan briefing kepada penganti yang telah hadir di pejabat. Walaupun pada riak wajah nampak gembira, tetapi sebenarnya hati ini berat dan sedih hendak meninggalkan pejabat tempat aku mencari rezeki , apakan daya keinginan untuk perubahan melebihi segalanya.
Banyak memori-memori yang sebenarnya mengajar erti pengorbanan dan ketabahan. Dari segi fizikal dan mental aku tidak segagah seperti dahulu semasa mula-mula berkhidmat. Semakin banyak kekurangan, kesilapan, suasana kerja yang kurang kondusif dan kelemahan yang aku telah aku lakukan sepanjang berkhidmat di sana menjadi batu pemberat untuk aku melakukan penghijrahan.
Jutaan terima kasih kepada semua warga kerja, kita tidak lagi berkerja sebumbung tetapi diharap ikatan silaturahim akan kekal selamanya. Jumaat terakhir amat terkesan dihati, mana akan aku lupa warga kerja membaca yasin di setiap pagi Jumaat bersama juadah nasi lemak kak bedah, pekena mee bandung dan air bandung hijau selepas solat Jumaat. Spaghetti disulam dengan juadah perpisahan di petang hari menutup tirai 12/03/10 merupakan Jumaat terakhir di pejabat.